Friday, April 24, 2009

cerpen untuk hiburan jiwa...

Pergilah...walau ombak itu masih setia

Angin pagi ini seakan merajuk. Tidak mahu menyapa wajah yang sayu merenung ke dada laut. Memerhati ombak yang menghempas. Sesetia ombak pada pantai.. adakah itu sesetia hati seorang wanita? Wajah itu semakin tunduk dan perlahan melepaskan keluhan. Jemarinya mula memainkan loket berbentuk hati pemberian seseorang. Loket berwarna putih jernih seakan kristal. Indah terletak di dada gadis itu. Matanya semakin dalam merenung seakan memberitahu, dia juga akan setia seperti ombak.






“Ieza..!” teriakan itu mematikan langkah gadis manis berkulit cerah. Tangannya yang masih memegang penyapu lidi digoyangkannya. Dari jauh kelihatan Syikin berlari-lari anak. Aku hanya tersenyum. Jauh di sudut hatiku tertanya-tanya. Mesti ada yang nak dikhabarkan.

Sesampai sahaja di sisi Ieza, Syikin terus duduk di bangku yang agak usang. Bergoyang-goyang pokok rambutan akibat di sandar oleh Syikin. Sambil duduk bersila Syikin memandang muka ku yang kelihatan agak kemerah-merahan di bakar mentari. Perlahan aku melabuhkan punggungku di sisi Syikin.

“Kenapa dengan kau ni. Kelam-kabut semacam aje” jeling ku. Tanganku lincah mengetuk-ngetuk belakang penyapu.

“Tak adalah, aku nak tanya je. Petang ni aku nak ke bandar. Kau nak ikut tak?” Syikin bertanya, kali ini kakinya dijulurkan dan di ayun ke depan dan ke belakang.

“Tak la Ikin, aku dah janji dengan abang Kamarul nak ke bandar. Nak beli barang sikit. Lagipun masa dah suntuk. Majlis tinggal lagi 2 bulan aje”.

Hmm.. pergi sorang-sorang je la jawapnya petang ni! Mata Syikin mendongak ke atas. Eh! Ada rambutan la! Syikin memandang ku penuh makna. Aku memandang semula ke arah Syikin seakan dapat membaca apa yang bermain di fikirannya.

“Kalau kau nak rambutan tu panjat la sendiri” ayat itu dituturkan perlahan sambil tersenyum. Apa lagi, Syikin memang pantang di pelawa. Dengan pantas kakinya memanjat ke dahan-dahan yang sarat dengan buah berwarna merah. Daun-daun sedikit berguguran jatuh ke tanah. Aku menggeleng-gelengkan kepala. Kena sapu baliklah laman ni!





Dari jauh aku dapat menangkap kelibat Syikin yang sedang mengendong beg plastik di bawah pasar raya. Lincah dia bergerak menyusup di celah-celah orang ramai. Kamarul di sisiku sedang asyik membelek kemeja yang tergantung kemas di kedai bersebelahan pasar raya.

Tiba-tiba bahuku dicuit. Pantas aku menoleh. La.. minah ni sejak bila pulak terpacak kat sebelah ni? Sambil tersengih, Syikin menunjukkan barangan yang digendongnya.

“Ha.. Ikin, kau dari mana ni?” tanya Kamarul mesra. Ketawa Kamarul bila melihat jirannya itu terkial-kial mengimbang kedudukannya di celah laluan orang ramai itu.

“Ala.. abang Kamarul ni. Beli barang rumah sikit. Mak tak ada. Pergi Melaka. Tengok Tok Ngah. Tak sihat katanya” balas Syikin bersahaja.

“Kitaorang dah nak balik ni Ikin. Nak tumpang ke?” pelawa Kamarul sambil memandang beg plastik yang berbondong-bondong itu. Sambil tersenyum Syikin mengangguk. Orang dah nak tumpangkan, ikut ajelah. Letih la nak naik bas dengan keadaan macam ni. Lagipun satu jalan. Rumah Kamarul kan sebelah je dengan rumahnya. Boleh main baling-baling bawang orang kata!

Syikin menghenyak badannya di kerusi belakang kereta Iswara biru milik Kamarul. Baru terasa lelah! Aku memandang Syikin sambil tersenyum. Anak dara ni kalau bershopping boleh tahan jugak.

“Syikin, petang ni kau datang rumah aku yer. Aku ada masak-masak sikit” aku memandang Syikin. Mengharap! Aku menoleh ke arah Kamarul yang sedang memandu. Aku benar-benar berharap agar Syikin mengotakan janjinya!






Syikin sendawa kecil. Kekenyangan! Aku ketawa melihat gelagatnya. Selepas selesai membasuh pinggan aku dan Syikin berehat di dalam bilikku. Aku berbaring di atas katil. Aku lihat Syikin sudah bersila di atas kerusi. Agaknya sudah menjadi kegemaran Syikin, suka bersila bila duduk di atas kerusi.

Aku merenung muka Syikin cuba untuk memulakan bicara. Tapi suara ku seakan tersekat di kerongkong. Aku hilang arah. Aku mengeluh perlahan. Aku meraba loket yang berkilau di panah mentari petang. Syikin memandang ku sambil tersenyum.

“Kau kenapa ni Ieza? Apa yang nak kau bagi tau aku ni?” tiba-tiba suara Syikin memecah suasana.

Aku terdiam. Masih tidak dapat memulakan kata. “hmmm...” aku mengumam perlahan.

“Dah la Ieza, janganlah kau nak tipu aku. Bukan sehari aku kenal kau. Dari kecik sampai dah dekat suku abad ni aku kenal kau. Bayang kau melintas pun aku boleh cam” Syikin bersuara lagi apabila melihat aku hanya mendiamkan diri.

“Abang Kamarul Ikin...” aku bersuara sebak. Air mata ku tak dapat aku bendung lagi. Mengalir perlahan lalu ku kesat dengan hujung lengan baju ku.

“La.. kenapa pulak? Tadi aku tengok dia dengan kau ok je. Macam tak ada apa- apa je” tebak Syikin dengan suara yang agak keliru. Dia aku lihat menggaru-garukan kepala. Aku cuba menarik nafas panjang. Aku tahu di saat ini tiada siapa yang akan memujuk kedukaan hati ku. Syikin ni bukannya jenis pandai memujuk. Biarlah aku menangis siang malam. Dia cuma tengok aje. Tapi pada dialah aku meluahkan segala masalah aku.

“Abang Kamarul, dia minta putus tadi!” akhirnya dapat juga aku meluahkan keresahan yang selama ini mencengkam hati ku. Syikin tersedak! Air sirap yang diteguknya terasa manis melekat di anak tekaknya.

“Kau biar betul Ieza. Apa! Dah hilang akal ke abang Kamarul tu!” pekik Syikin. Syhhh!!! Pantas aku meletakkan jari telunjukku ke bibir. Aku tak mahu orang lain mendengar perbualan ini.

“Betul ke abang Kamarul minta putus?” Syikin bersuara lagi kali ini agak berbisik. Aku mengangguk perlahan. Aku tidak tahu bagai mana harus aku menerangkan segala-galanya. Aku serba-salah.

“Kenapa Ieza. Apa masalahnya?” Syikin kelihatan tidak berpuas hati. Aku hanya mendiamkan diri. Aku membelek cincin pertunangan yang tersarung indah di jari manis ku. Memikirkan segala kemungkinan yang bakal mendatang. Aku pandang Syikin yang turut terdiam.

“Entahlah Syikin, aku pun tak tahu macam mana nak memulakan. Cuma abang Kamarul dah tak boleh nak terima aku lagi...” aku semakin sebak. Aku rasa menyesal. Adakah ini balasan atas segala dosa-dosaku. Seketika imbasan silam datang kembali. Aku semakin terdesak! Aku hanya mampu menadah airmataku yang menitis. “Pergilah Ikin, nantilah bila ada masa aku cerita lagi” bisikku perlahan disulami sedu-sedan aku yang tidak menentu.

“Aku balik dulu ye Ieza, apa-apa hal nanti kau telefon la aku” Syikin memegang bahu perlahan. Perlahan dia beredar hingga aku sendiri tidak sedar dia sudah tiada lagi di sisiku.





Aku duduk termenung petang itu di bawah pohon rambutan yang rendang. Aku mengeluh. Aku masih belum berani untuk mengkhabarkan pada emak cerita semalam. Aku takut untuk menerima segala kemungkinan. Perlahan aku capai basikal tua. Dengan longlai aku mengayuh basikal ke rumah Syikin.

Sesampai sahaja aku di depan rumah Syikin, perlahan aku memberi salam. Terjengul sahaja kepala Syikin di jendela rumah. Perlahan dia menggamit ku untuk masuk. Perlahan aku menuju ke dapur. Aku menjeling ke rumah sebelah. Aku kecewa. Kereta Kamarul tiada di garaj. Sudah dua hari aku cuba menelefon tapi aku hampa. Panggilan ku tidak dijawab. Aku kembali sebak. Terasa aku sudah sampai di penghujungnya. Di sinikah berakhirnya?

Aku termenung kembali. Syikin cuma memandang ku sambil tangannya menuangkan air berwarna oren di dalam gelas.

“Kau ni datang rumah aku nak termenung ke apa?” tanya Syikin pantas bila aku tidak mengendahkan air minuman yang dituangnya tadi.

“Hmmm.. tak adalah. Nantilah aku cerita” kataku malas. Air itu ku teguk perlahan. Manis! Mak aih! Ni nak membunuh ke apa?

Syikin hanya tersengih. “Aku tak masak apa-apa hari ni. Mak Kamarul bagi aku Mee Goreng. Kau nak rasa?” pelawa Syikin mesra. Aku hanya menggeleng-gelengkan kepala.

“Kau ni, cuba kau cerita apa sebenarnya masalah kau? Apa dah jadi dengan Kamarul tu? Dah kena rasuk hantu air ke dia tu?” soal Syikin bertubi-tubi. Aku masih mendiamkan diri. Aku masih tidak tahu bagaimana perlu aku memulakan bicara.

Aku tarik nafas dalam. Ku hembus bersama resah yang bersarang di dada. Sebak dan takut mula mencengkam perasaan. “Aku bukan gadis suci lagi Syikin!”

Syikin hanya melopong!










“Kejap.. apa maksud kau dengan ‘bukan suci’ lagi?” tanya Syikin meminta kepastian. Aduhai! Satu masalah lagi aku nak menerangkan pada Syikin ni. Aku usap muka ku sendiri. Memikirkan penjelasan yang paling mudah untuk diterima Syikin. Bicara ku mati lagi.

“Hmmmm... “ gumam ku perlahan.

“Kau ni janganlah hmmm, hmmmm, aje. Cakap la” desak Syikin tak sabar.

“Perkara ni, aku tak boleh salah kan siapa-siapa Ikin, semua ni salah aku. Aku yang tak beringat” perlahan aku memulakan cerita. Kembali fikiran ku melayang pada kisah silam ku.











Hamid! Nama itu seumpama seutas tali yang menggantung hidup ku antara hidup dan mati. Seulas senyuman, dan sepasang mata yang galak memukau jiwa ku. Di situlah kelemahan aku. Aku kalah dengan senyumannya yang menawan dan cara dia melayan aku. Dia yang mengajar ku segalanya. Rokok dan berpeleseran.

Rokok! Aku tarik nafas panjang dan dalam. Kerana sebatang rokoklah aku terjebak. Segalanya berakhir di situ. Di malam Valentine yang ku kira satu malam yang romantik. Malam yang merubah segalanya. Aku tewas pada Syaitan yang menghasut. Khayal dengan sedutan asap yang aku tahu bukanlah sekadar rokok biasa. Disitulah aku bukan lagi bergelar gadis. Hampir setahun lamanya aku menjalani hidup yang bergelumang dengan noda. Tak terasa bahu kiriku berat menanggung dosa. Keseronokan dan keindahan hidup remaja bagaikan satu anugerah yang baru kini ku tahu telah aku sia-siakan.

Keindahan yang aku nikmati tidak lama. Hamid mula beralih arah. Bosan katanya. Bosan dengan aku yang selalu menagih janji dan kata-kata manisnya. Kini bukan aku lagi yang diapitnya. Ada gadis manis yang lebih menawan dari ku. Yang di usungnya ke sana sini tidak ubah seperti diri ku dahulu. Akhirnya aku kembali ke daerah ini. Pulang membawa satu kenangan dan pengalaman yang pahitnya bukan sedikit. Semuanya ku simpan dan ku telan tak mampu untuk aku luahkan kembali. Dan setelah 5 tahun berlalu segalanya mula meminta pembalasan!




Aku pandang Syikin sayu. Terbukalah sudah tirai yang selama ini menutupi ku.

“Kamarul tahu fasal ni?” tanya Syikin. Aku mengangguk perlahan. “Kelmarin” pendek sahaja jawab ku. “Aku tak sanggup nak menipu dia Ikin. Aku tak tahan bila dia sering memuji aku. Aku baik, aku sopan, semuanya yang baik mengenai ku. Semua itu menyeksa aku Ikin. Aku terseksa dengan pujiannya. Sampai bila aku perlu menipu. Lambat laun dia akan tahu juga” kata ku sebak. Terasa air mata ku sudah kering untuk di titiskan lagi.

“Jadi....” Syikin tidak menghabiskan ayatnya.

“Dia tak boleh nak terima kelapa yang ditebuk tupai Syikin!” kali ini air mata ku mula berlinang. Menyesal kerana berlaku jujur. Menyesal kerana tidak terus menipu.

Syikin datang mendekatiku. Perlahan aku dipeluknya. “Sabarlah.. InsyaAllah kalau ada jodoh tak ke mana” pujuk Syikin perlahan. Ahh... Syikin kau tak tahu, mungkin sudah tertulis nama ku dan namanya tidak mungkin bersatu.







Mak sudah mula membebel. Perit telinga ku mendengar bebelannya. Umpama lahar gunung berapi yang meletup dan tidak reda-reda. Puncanya sedikit sahaja. Mak suruh aku tempah mak andam. Aku membantah. Aku cakap masa banyak lagi. Apa lagi orang tua tu mengamuk sakanlah! Masa tinggal tak sampai 2 bulan masih aku lengah-lengahkan. Maka aku terpaksa menadah telinga mendengar leterannya.

Ah... Mak! Kalaulah mak tahu! Aku tenggelam punca!







“Jadi Ieza dah bagi tahu kau lah!” nyaring suara Kamarul memecah keheningan di petang itu. “Memang perempuan tak malu!” bentak Kamarul lagi.

Syikin agak tersentak. Kenapa Kamarul berubah laku. Kamarul tidak seperti dulu. Perangainya berubah menjadi panas baran.

“Abang ni kenapa? Hina sangat ke Ieza tu. Semua orang buat silap tahu tak? Yang lepas tu biarlah lepas” Syikin melampiaskan kemarahannya. Kali ini dia benar-benar teruji dengan kata-kata Kamarul.

“Hina? Dia lebih dari itu kau tahu tak? Dia tu ibarat gadis yang bukan gadis. Janda pun bukan janda!” kata-kata itu meledak membangkitkan kemarahan Syikin. Kata-kata itu bagai menyiat hati Syikin. Kalaulah Ieza mendengarnya Syikin boleh bayangkan apa perasaannya.

“Habis tu..? abang nak tinggalkan dia macam tu aje. Abang pun pernah buat silap. Semua orang pernah buat silap. Yang penting Ieza sekarang tak macam tu lagi. Selalunya abang kata dialah yang baik, dialah segalanya. Sekarang kenapa dah terbalik pulak!” balas Syikin.

“Itu dulu.. sebelum aku tahu tembelangnya. Ah! Pergi mampus la semua tu!” Kamarul mendengus.

“Abang puji dia dulu kan? Sebelum abang tahu dia tu dah tak suci lagi kan? Tapi sebelum abang tahu semua tu, abang puji dia baik. Dia dah insaf sekarang. Masa silam dia tu kesilapan dia. Dia dah tak boleh nak tebus balik. Yang penting sekarang! Dia tak pernah menduakan abang sekarang ni. Abang nak hidup dengan masa silam dia ke atau abang nak hidup dengan masa depan yang abang boleh bentuk bersama?” soal Syikin perlahan, cuba memujuk.

“Biarlah!.. Kau bayangkan Ikin, perempuan macam tu nak jadi isteri aku. Tapi tak ada apa-apa yang boleh dia persembahkan pada malam pernikahan nanti. Untuk apa aku ambil perempuan macam tu!’ sambung Kamarul masih tidak berpuas hati.

“Kenapa ye, bila perempuan tu tak suci orang persoalkan? Pelikkan? Orang lelaki ni... dia nak perempuan yang masih suci walau pun kadang-kadang dia orang tu bukan lagi bergelar teruna?” tanya Syikin. Kali ini lebih pedih. “Syikin pernah dengar.. telah dijanjikan tuhan, lelaki yang baik itu, untuk perempuan yang baik begitu juga sebaliknya” sambung Syikin perlahan.

“Sudahlah abang. Janganlah abang mengharap isteri sebaik Fatimah kalau abang pun tidaklah sebaik Saiyidina Ali!” perlahan ucap Syikin sambil berlalu meninggalkan Kamarul terpinga-pinga.

Seketika Kamarul tersedar sesuatu. Satu ketika dulu, dia juga bergelar lelaki. Dia juga pernah nakal. Pernah berpasangan. Pernah juga mengambil kesempatan. Tapi tidak pernah lagi melangkau jauh dari perbatasan. Tapi... dia mengambil kesempatan bukan ke atas seorang gadis sahaja. Malah lebih dari itu. Bahagian mana dari tubuh wanita yang tidak pernah diusiknya. Segalanya telah dirasa. Sekadar memenuhi impian dan imaginasi naluri lelaki. Begitu ramai gadis. Sesiapa saja yang di jumpai dan kebanyakannya rela di perlakukan begitu. Mereka tidak pernah membantah. Tapi itu dulu. Ketika dia masih lagi muda. Segala-galanya telah ditinggalkan. Dia meninggalkan semua itu atas satu sebab! Tapi kini dia sendiri terjerat!

“Ya Allah! Adakah ini pembalasan dari Mu?” bisik hati kecil Kamarul.









Tiupan angin menyapu kedua wajah yang bertemu kembali di pinggiran pantai. Masing-masing diam dan kaku.

Aku tak mampu memandang wajah lelaki yang kini menolak diri ku jauh dari hatinya.

“Ieza..” perlahan Kamarul memanggilku. Sebak rasanya. Sudah sekian lama aku tidak mendengar suaranya. Aku pandang wajahnya. Ingin ku pandang lama-lama. Takut selepas ini aku sudah tidak berkesempatan untuk menatapnya lagi. Kamarul sedang memandang ke laut lepas. Kemudian kepalanya ditundukkan. Dia memandang aku selepas itu dan menepuk bangku bersebelahan dengannya.

Perlahan aku berjalan dan duduk di sebelahnya.

“Abang....” bisik Kamarul perlahan. Aku dengar dia menarik nafas panjang. Bagai mencari kekuatan di balik hembusan bayu.

“Ieza sayang abang lagi tak?” tiba-tiba Kamarul menyoalku. Aku terdiam. Aku takut jika di permainkan lagi. Cukup sudah hati ku terluka. Aku diam membatukan diri.

“Abang takut sebenarny Ieza. Takut pada kenyataan” ayat itu terpacul dari bibirnya meninggalkan seribu tandatanya. Aku pandang dia dengan dahi berkerut. Cuba mencari makna di sebalik kata-katanya.

Kamarul seakan mengerti kekeliruan ku. Perlahan dia menyambung kembali kata-katanya. “Abang pun lelaki jugak Ieza. Pernah melalui zaman gelap abang yang sendiri. Tapi abang tinggalkan semua itu sebab abang takut. Takut jika isteri abang juga adalah bekas dari lelaki yang lebih kurang sama dengan abang”.

Aku terpana. Jadi selama ini.. aku juga tertipu. Tertipu dengan tingkahnya yang sopan! Aku jadi tak keruan.

“Tapi, bila abang tahu Ieza juga pernah tersilap langkah abang jadi kecewa. Kecewa yang teramat sangat. Sebab abang rasa abang dah jumpa bidadari hidup abang. Abang kecewa Ieza. Abang tak boleh bayangkan bagaimana jantan tu memperlakukan Ieza ketika itu. Setiap kali abang ingin berjumpa Ieza abang terbayang Ieza dan dia. Abang jadi marah. Abang cuba untuk menafikan yang semua ini silap. Dalam pada itu, abang terlupa Ieza... terlupa yang abang juga bukanlah lelaki yang sebaik Ieza harapkan” lancar sahaja kata-kata itu keluar dari seulas bibir Kamarul.

“Maafkan abang kerana menghukum Ieza sampai macam ini. Dosa Ieza itu antara Ieza dan Allah. Begitu juga dosa-dosa abang. Cuma abang harap, janganlah kita ulangi lagi. Abang takut kecewa lagi...” bisik Kamarul sayu.

Aku kembali sebak. Kalau kau begitu aku juga begitu Kamarul. Barulah aku tahu perasaan Kamarul bila aku beritahu dia sejarah silam ku. Baru aku tahu rasa kecewa bila pasangan kita tidak sebaik yang kita sangkakan. Baru aku tahu bayangan yang selalu menghantui aku turut menghantui pemikirannya. Aku tekup muka ku dengan tapak. Mencari kekuatan diri.

Kalau Kamarul boleh menerima aku kenapa aku tak boleh terima dia? Ah... Aku menarik nafas tertahan-tahan. Aku pun bukanlah sebaik malaikat Kamarul, bisik hati ku.













Sayup aku terdengar paluan kompang. Hatiku semakin berdebar-debar. Akhirnya aku berjaya juga melepasi segala halangan. Aku cuma mencari jalan yang diredhai. Aku tidak mahu lagi tersilap langkah.

Hari ini dan ketika ini, aku disandingkan di atas pelamin bersama Kamarul. Terima kasih Kamarul kerana menerima ku kembali. Namun di sebalik keriuhan aku mencari-cari Syikin. Syikin yang telah berjaya menyatukan kami kembali dalam ikatan yang lebih kukuh. Tapi aku gagal mencari kelibatnya. Ah..! tak datangkah dia?









Di kejauhan Syikin memandang sayu. Melihat Kamarul dan Ieza di pelamin. Hatinya gembira bercampur duka. Gembira kerana Ieza kini bahagia. Duka kerana Kamarul kini milik orang lain. Perlahan dia meraba loket jernih seakan kristal yang tergantung di lehernya. Loket pemberian Kamarul di hari lahirnya yang ke 21. Loket yang sering memberinya harapan dan memupuk keinginan yang tersendiri. Keinginan dan impian yang tidak pernah diketahui oleh orang lain. Impian untuk bergandingan dengan Kamarul seperti yang dilalui Ieza ketika ini. Dia tidak berani meluahkan perasaannya. Cuma dia berharap agar orang yang menyayanginya dan disayanginya gembira dan bahagia. Perlahan dia melangkah sayu meninggalkan majlis penuh keramaian itu. Loket pemberian Kamarul itu terayun-ayun di tangannya. Lalu jatuh di pinggir jalan berbatu. Bersinar disebalik rumput rumput yang liar tumbuh di tepi jalan. Perlukah lagi dia setia menanti? Sesetia ombak pada pantai? Dia tidak sekuat itu.... maafkan aku kerana menyimpan perasaan ini. Maafkan aku Ieza.. Maafkan aku Kamarul...






* If u want to see the future, forget the past!
* kalau ader jodoh xkan kemana...yakinlah dengan ketentuan n takdirNya untuk diri kita.... astaghfirullahal 'azim...Kau ampunilah dosa2ku Ya Allah..

2 comments:

Ladyship Atie said...

salam ziarah(:

naimah, just found ur blog!

anyway, nice story;p
feel free to visit my site(:

morsmode said...

oh, cerita ini saya suka :)